Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Wednesday 17 July 2013

Perdana Menteri yakin pelan `perdamaian nasional' dapat dicapai



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan penerimaan secara muktamad keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menjadi premis utama ke arah mencapai matlamat 'pendamaian nasional'.

Perdana menteri berkata ini kerana proses pilihan raya pada 5 Mei lepas itu telah dijalankan mengikut Perlembagaan negara dan peraturan pilihan raya.

Beliau berkata matlamat pendamaian nasional yang disarankan kerajaan tidak akan berlaku sekiranya pakatan pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan yang menggambarkan mereka tidak menerima keputusan PRU13 itu.

"Dalam usaha kita untuk mencari dan mencapai pendamaian nasional, saya suka menegaskan bahawa premis utama ialah bahawa keputusan PRU13 perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad.

"Sekiranya ada apa-apa yang tidak berpuas hati, ada saluran tententu untuk kita membuat aduan, dan selanjutnya apa-apa keputusan yang dibuat oleh proses mahkamah, maka kita kena terima kerana ia berpandukan Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Lim meminta perdana menteri menyatakan usaha, kejayaan dan halangan terhadap 'pendamaian nasional' sejak PRU13 pada 5 Mei.

Najib berkata bagi mencapai matlamat pendamaian nasional, kerajaan mempunyai cadangan untuk menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional yang mengandungi tiga asas penting iaitu mencari kaedah menangani soal polarisasi kaum dalam aspek yang luas, memupuk keharmonian antara agama dan bagaimana dasar-dasar kerajaan boleh berbentuk inklusif sosial.

Najib berkata kerajaan akan menjemput semua pihak daripada kalangan masyarakat umum, ahli akademik dan parti-parti politik termasuk pembangkang bagi merumuskan langkah terbaik ke arah menentukan kesejahteraan rakyat dan masa depan lebih baik negara.

Menjawab soalan tambahan Lim berhubung dakwaan ada tindakan 'menghukum' rakyat dan wakil rakyat pembangkang berikutan keputusan PRU13, beliau berkata kerajaan tidak berhasrat berbalah berhubung perkara itu kerana cadangan penubuhan majlis itu adalah antaranya bagi sama-sama membincangkan perkara yang dibangkitkan veteran DAP itu.

"Kalau Yang Berhormat boleh tegur kami, kami juga boleh menegur pihak Yang Berhormat, jadi kalau asyik tegur-menegur dan kita berbalah seperti itu, sampai bilapun tak akan berlaku pendamaian nasional...jadi soalnya kalau kita hendak mulakan proses ini, pokoknya terima keputusan PRU13," tegas Najib.

Pada 6 Mei lepas, perdana menteri dilaporkan berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan usaha penyatuan nasional untuk mengeratkan hubungan antara rakyat negara ini yang berpecah seperti dilihat melalui 'trend polarisasi' pengundi pada PRU13.

Menurut Najib, usaha penyatuan nasional itu bakal dilaksanakan demi perpaduan rakyat yang seolah-olah dipisahkan berikutan pilihan raya umum itu.

Terdahulu, isu serupa turut dibangkitkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mempertikaikan bagaimana usaha pendamaian nasional mahu dilaksanakan sedangkan kerajaan belum dapat memastikan 'kecurangan' dalam proses PRU13 ditangani.

Menjawab persoalan itu, Najib menarik perhatian sehingga kini pihak berkenaan belum menerima sebarang bukti penyelewengan seperti yang didakwa.

"Kita ada proses bagi membuat bantahan, tidak boleh buat tuduhan melulu umpama dakwaan 40,000 warga Bangladesh jadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.

"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara...dan inilah yang dibawa dalam pendamaian nasional," katanya.-sumber

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC