Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Saturday 4 October 2014

Prof Madya Dr Azmi Sharom "dihalau" pengawal keselamatan UKM??

 CLICK PHOTO

BANGI:  Sebuah program mengenai bahaya Akta Hasutan bertukar menjadi "pengajaran secara langsung" bagi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam apabila penceramah jemputan, Prof Madya Dr Azmi Sharom "dihalau" pengawal keselamatan UKM.

Azmi, yang didakwa menghasut pada 2 September, dijemput Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) merasmikan gerakan anti-Akta Hasutan di kampus UKM di Bangi, malam tadi.


Profesor Universiti Malaya yang baru-baru ini didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut itu berkata, beliau terpaksa melalui beberapa sekatan jalan di dalam kampus bertujuan untuk menyekat beliau dan media daripada menghadiri program tersebut.

"Salah seorang penganjur mengambil saya di pintu masuk, dan memberitahu kami terpaksa masuk berjalan kaki akibat sekatan jalan raya itu," kata Azmi dipetik kepada The Malaysian Insider.

"Oleh itu, kami menyelinap ke dalam kampus, dan dihalau keluar oleh pengawal keselamatan apabila sampai ke tempat majlis. Mereka tidak memberikan apa-apa sebab. Mereka hanya berkata pengurusan universiti itu telah 'haramkan' program tersebut.

"Beratus-ratus pelajar telahpun tiba di tempat itu, tetapi pengawal dengan sopan namun tegas mengarah saya supaya keluar.

"Oleh itu, kami berkumpul di tempat letak kereta di luar kampus, dan saya memberi ucapan selama 20 minit kerana suasana benar-benar panas dan gelap serta tidak selesa di samping masa sudah lewat."

Walaupun begitu, Azmi merasa lucu dengan pengalamannya, sambil menyifatkannya "pengajaran secara langsung" bagi pelajar melihat bagaimana pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara.

"Ia lebih menarik daripada saya bercakap dengan mereka jika program itu berjalan lancar."

Terdahulu, usaha pihak media memasuki premis tersebut untuk membuat liputan gagal kerana dikawal ketat pengawal kampus menghalang media.

"Kami mendapat arahan dari Naib Canselor untuk menghalang mana-mana media malam ini daripada memasuki universiti," kata seorang pengawal di pintu masuk universiti.

"Penceramah itu juga sepatutnya tidak masuk, kerana ada kebimbangan dia akan menghasut pelajar dan melakukan hasutan malam ini," katanya, menunjukkan gambar Azmi dalam poster program.

Tulisan tangan di bahagian atas poster tersebut memberitahu "Media tidak dibenarkan masuk".

Menurut pengawal tersebut, program itu tidak diluluskan universiti, dan berkata GMUKM merupakan "kumpulan pembangkang".

Polis turut kelihatan di kampus ketika kereta bergerak ke premis itu, dan setiap kenderaan diperiksa di beberapa sekatan di sepanjang jalan.

Pihak media dipaksa keluar di sekatan kedua, selepas seorang pegawai polis mengesahkan bahawa program itu telah dibatalkan.

Ketika dihubungi, ahli GMUKM Jason Ng berkata, permohonan mereka mengadakan program makan malam itu ditolak oleh universiti, tetapi mereka masih mahu teruskan.

"Anda tahu bagaimana rasanya... apabila kita cuba untuk menjemput orang-orang seperti Profesor Azmi, mereka merasakan ia tidak sesuai, mereka tidak akan membenarkannya," katanya.

Bulan lepas, Azmi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, ekoran komen beliau mengenai krisis menteri besar Selangor seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Jika sabit kesalahan, Azmi boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.-sumber

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

SILA KLIK PIC